Coretan Perjuangan

Khabar Dari Pimpinan

Monday, May 25, 2009

Cara Turun Padang Berbeza - U.M.N.O

[gambar sekadar hiasan..]
BALING 24 Mei - Formula turun ke padang untuk mendekati rakyat yang digariskan oleh UMNO bagi menawan kembali hati rakyat negeri ini berbeza dengan cara turun ke padang yang diamalkan oleh para pembangkang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apabila pemimpin pembangkang turun ke padang untuk bertemu rakyat, mereka hanya tahu bercakap dan menabur janji semata-mata.




"Lain halnya dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) apabila mereka turun ke padang untuk bertemu rakyat.

"Kami datang bertemu rakyat untuk memberi peruntukan, bagi rumah dan kemajuan dan tidak pernah kami datang hanya untuk bersalam kosong," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis ramah mesra UMNO Bahagian Baling dan perasmian serentak Mesyuarat Agung UMNO cawangan itu di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Menurutnya, jika pembangkang bertemu dengan rakyat dan hanya tahu menabur janji semata-mata, lama kelamaan rakyat akan kembali sedar lalu beralih kepada BN.

"Pembangkang hanya tahu mencipta isu serta bernaung pada isu-isu tersebut.

"Kita yang membawa kemajuan kepada negara ini dan tidak pernah membuat janji kosong kepada rakyat kerana apabila kita cakap nak bina sekolah, kita akan bina sehingga siap," ujarnya.

Tambah beliau, penyusunan gerak kerja untuk memantapkan UMNO negeri akan segera dilakukan bagi memastikan negeri ini kembali ke tangan BN.

"Yang pasti semua ahli perlu bersatu dan sedia berkhidmat untuk memantapkan parti.

"Saya mahu semua ahli serta pemimpin UMNO memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan dengan ini UMNO akan terus dekat dengan rakyat," jelasnya.

Selain itu Shafie memberitahu, peluang BN untuk kembali memerintah di negeri ini agak cerah kerana tiada ketaksuban kepada pemimpin pembangkang di negeri ini seperti yang berlaku di Kelantan.

"Di Kedah kita mempunyai kelebihan kerana kemajuan yang telah negeri ini kecapi adalah hasil daripada usaha BN.

"Jika kemajuan ini tidak dikekalkan, sudah tentu rakyat akan kembali menyokong BN," katanya

No comments:

 
|  Pemuda Pas Cawangan Ketengah jaya. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger