Coretan Perjuangan

Khabar Dari Pimpinan

Monday, May 25, 2009

Apabila jenayah mengambil tempat makruf

DARI jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, ragutan dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya.

Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa.

Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri. Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya.




Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang ‘kehausan kuasa’ juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.

Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamananNya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat.

Antara punca hal ini terjadi adalah kerena hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan).

Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah ayat 71).

Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang ‘sama spesis’ dengan itu sahaja. Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang ‘dirasakan’ menunaikan tanggungjawab agama.

Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama.

Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama. Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita.

Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam.

Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat ‘operasi mengintip khalwat’, dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara kerja pihak polis atau ‘rukun tertangga’ mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya.

Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu.

Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.

Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita.

Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini. Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa. Kita tidak tegur atau bantah perbuatan ‘rempit’, akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa.

Ibn ‘Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya): “Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).

Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya” berkata: (maksudnya) “Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya”.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam) Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tanganNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepadaNya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya.

Sabda Nabi s.a.w juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemunkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).

Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya): "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasulNya kehendaki.

Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam. Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama.

Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu.

Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.

Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis.

Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak. Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah ‘orang-orang politik’ itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir.

Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselematan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada.

Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas. Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan.

Islam apabila menetapkan ‘hudud’ ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan.

Dalam ertikata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya.. Ya, kaedah hukuman dan cara perlaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab ‘menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar’ yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.

No comments:

 
|  Pemuda Pas Cawangan Ketengah jaya. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger