Image Hosted by ImageShack.us

Coretan Perjuangan

Khabar Dari Pimpinan

Saturday, June 13, 2009

SPRM Tahan Pemimpin UMNO Terengganu ?


Siasatan kes rasuah dua Datuk diserah kepada pendakwaan.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan siasatan berhubung isu rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) membabitkan dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan hasil siasatan itu dan telah merakamkan keterangan kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 50-an itu



Menurutnya, SPRM turut mengambil dokumen berkaitan projek pembinaan lebuh raya berkenaan membabitkan kedua-dua mereka.

"Kami telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit ditahan ketika datang ke pejabat SPRM Shah Alam untuk memberi keterangan kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM20,000 setiap seorang.

Turut difahamkan, siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut telah dijalankan selepas media pada Ogos 2004 membuat pendedahan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang meneliti kertas siasatan terbabit sebelum sebarang keputusan diambil.

Dalam pada itu, salah seorang daripada Datuk yang dikaitkan dengan kes tersebut, enggan mengulas ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.


BPR buka semula fail MRR2 - Selamatkan Pak Rosli, bagaimana Roslan?

KUALA TERENGGANU - Dua ahli politik dikalangan pemimpin UMNO dilaporkan berasal dari Pantai Timur ditahan SPRM Selangor dipercayai kerana meminta wang suapan sebanyak RM3 juta.

Adalah dipercayai ia berkait rapat dengan kes yang pernah dipaparkan oleh Buletin Online, 7 Ogos tahun lalu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan dalam projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dimulakan pada 2004.

BPR akan melihat semula kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini dan akan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2.

Antara tindakan yang akan diambil BPR adalah memanggil kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu. Jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999.

Ahad lalu (3 Ogos) MRR2 ditutup kepada semua kenderaan apabila satu daripada tiang yang pernah dibaiki sebelum ini dikesan retak semula. Penutupan itu adalah kali ketiga dalam tempoh empat tahun, kali pertama pada Ogos 2004 dan kali kedua pada Februari 2006.

Tiang yang mengalami keretakan itu adalah termasuk dalam laluan yang dibina oleh Konsortium Bumi Hiway, SUKMIM Sdn Bhd dan Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd melalui kontrek Pakej II MRR2 berharga RM238 juta.

Berikutan keretakan kali pertama pada 2004, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

Manakala siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang tersebut mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Sehubungan dengan itu Buletin Online telah menerima satu salinan surat seorang individu yang bernama Kamaruzzaman Ishak, bertarikh 15 Jun lalu yang ditujukan kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dalam surat tersebut Kamaruzzaman yang beralamat di Sura Gate, Dungun, telah membuat permohonan kepada Ahmad Said Hamdan supaya membuat pendedahan umum, status siasatan BPR terhadap tuduhan-tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pak Rosli).

Pak Rosli adalah Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun dan kini baru dilantik oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said (Mad Said) sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu.

Surat tersebut juga menyenaraikan beberapa kes dimana Pak Rosli dikatakan telah disiasat oleh pihak BPR.

Kes-kes tersebut sebagaimana dalam surat itu adalah Projek Pembinaan Lebuhraya MRR 2 di Kuala Lumpur, Projek Pembinaan Sekolah Menengah Serating di Marang (RM 15 juta) (yang terbengkalai) dan Projek Tangki Air Simpanan (Terbengkalai) di Cherul, Kemaman (RM 10 juta).

Sebelum ini, pada 22 November 2007, Pengarah BPR negeri Terengganu, Sharuddin Sapian pernah mengesahkan bahawa seorang ahli politik terkenal Terengganu adalah antara 70 orang yang telah disiasat oleh BPR sejak awal 2007.

Namun Shaharudin enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan, identiti serta maklumat berhubung ahli politik itu hanya boleh didedah apabila kertas siasatan mengenainya siap.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran khabar angin yang tersebar mengatakan Pak Rosli telah disiasat BPR berhubung dengan penyelewengan dalam projek MRR2.

Berita tersebut tidak diambil peduli dan berlalu begitu sahaja kerana tidak ada siapa yang menduga Pak Rosli terlibat dengan pembinaan MRR2.

Malah ada yang terkejut apabila ditanya berkenaan Pak Rosli disiasat BPR kerana Pak Rosli tidak dikenali sebagai seorang kontraktor.

Sekiranya dikaitkan perkara tersebut dengan Bendahari UMNO yang baru, Dato’ Roslan Awang Chik, barulah munasabah, kerana beliau ada cukup dikenali sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Sebelum ini Pak Rosli hanya terkenal sebagai jaguh dangdut kerana isu berkaitan beliau suka berdangdut pernah menjadi popular suatu masa dulu.

Apabila isu MRR2 kembali ‘menggegar’ awal minggu ini, ingatan kepada dakwaan Pak Rosli disiasat BPR tersebut kembali semula.

Setelah Buletin Online mendapat salinan surat Kamaruzzaman, carian dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sebuah keratan akhbar tahun 2000 dari rekod JKR dan Berita Harian 26 Oktober 1998 yang telah merakamkan beberapa kenyataan Pak Rosli, menjadi kunci yang mengaitkan Pak Rosli dengan siasatan BPR.

Pak Rosli ketika itu adalah Setiausaha Agung PKMM.


Jadi apa kaitannya ?


Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd dan SUKMIM adalah dua daripada tiga kontraktor yang dilantik kerajaan bagi melaksanakan Pakej II MRR2.

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd (KKM) adalah syarikat yang ditubuhkan dibawah PKMM, manakala SUKMIM Sdn Bhd (SUKMIM) pula sebuah syarikat gabungan diantara PKMM dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Maknanya sewaktu pembinaan Pakej II MRR2 sedang dilaksanakan oleh kedua-dua KKM dan SUKMIM, Pak Rosli adalah Setiausaha Agung PKMM yang berkuasa keatas kedua-dua syarikat tersebut.

Bukan sedikit dakwaan penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan oleh Pak Rosli, nilainya sebanyak RM 500,000.

Sebagaimana hasil siasatan unit kejuruteraan BPR pada tahun 2004 yang tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan, khususnya menyebabkan keretakan pada tiang MRR2.

Begitu juga hasil siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.


Bolehkah Pak Rosli terlepas dari pendakwaan?

Bagaimana pula kedudukan Bendahari UMNO Terengganu, Dato’ Roslan Awang Chik, yang baru dilantik oleh Mad Said?

Roslan adalah Pengerusi PKMM pada waktu pembinaan Pakej II MRR2 dulu, dan masih menjadi Pengerusi PKMM sehingga hari ini !



SPR siasat surat Adun letak jawatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menyiasat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Tan Beng Huat dari DAP yang menulis surat meletak jawatan tidak bertarikh selepas didakwa melakukan penyelewengan tuntutan berlebihan.




Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata walaupun ia urusan dalaman parti, siasatan itu untuk menentukan sama ada surat itu dibuat secara paksaan atau sukarela bagi mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Kes ini tidak sama seperti yang berlaku kepada tiga Adun di Perak. Kes ini (Tan) unik kerana Adun berkenaan seperti memang sudah bersedia untuk mengosongkan kerusi itu. Ia seperti seseorang yang menanda tangan sekeping cek tetapi tidak menulis berapa jum-lahnya akibat diperas ugut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tan yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan tuntutan berlebihan menyerahkan surat meletak jawatan tidak bertarikh kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng, kelmarin.

Surat itu hanya berkuat kuasa jika siasatan yang sedang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati beliau bersalah.

Surat itu yang mengandungi pengakuan Tan akan meletak jawatan jika didapati bersalah atas dakwaan membuat tuntutan lebih, dialamatkan kepada Speaker DUN Pulau Pinang.

Dalam kes di Perak, dua Adun yang pada awalnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) mendakwa surat peletakan jawatan mereka ditanda tangan pada 8 Mac tahun lalu kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka akan keluar parti.

Surat yang ditanda tangan lebih awal itu digunakan untuk mengugut Adun berkenaan supaya tidak melompat parti dan jika meneruskan hasrat itu, mereka akan diisytihar meletak jawatan sebagai Adun.

Abdul Aziz berkata, SPR tetap bersedia mengadakan pilihan raya kecil kawasan itu jika Speaker DUN Pulau Pinang menyerahkan surat peletakan jawatan Tan itu kepada pihaknya.

“Jika berlaku kekosongan kerusi selepas Speaker menyerahkan surat mengumumkan kekosongan itu kepada kami, memang SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil di kawasan itu,” katanya.




Manek urai bakal tiba..Jawi Pula Menanti.. pemimpin korupsi harus dipecat.PRK wajib diadakan-Bijan

Mohamad Hasan nafi beri kelab SPRM RM20,000

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan dakwaan memberi sumbangan RM20,000 kepada Kelab Sukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi menampung perbelanjaan kakitangannya menyertai kejohanan sukan di Shah Alam, Selangor, bermula kelmarin.


Beliau bagaimanapun menegaskan, jumlah sumbangan yang diberikan sekadar RM5,000 dan bukan RM20,000 seperti didakwa parti pembangkang, malah menyifatkan pemberian itu bukan satu kesalahan.

“Lebih baik mereka meminta dari kerajaan negeri berbanding meminta derma daripada syarikat swasta atau badan lain. Ini akan menimbulkan lebih banyak konflik kepentingan.

“Lagipun, kerajaan negeri sentiasa membantu dan memberi sumbangan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) negeri di Wisma Negeri, di sini semalam.

Beliau mengulas desakan parti pembangkang yang meminta Ibu Pejabat SPRM menyiasat mengenai dakwaan Pengarah SPRM negeri menerima sumbangan RM20,000 daripada Menteri Besar bagi menampung perbelanjaan menghantar kakitangan untuk menyertai pertandingan sukan di Shah Alam.

Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Badrul Hisham Shaharin, berkata tindakan itu jelas melanggar etika pegawai SPRM yang tidak boleh memohon, menyumbang dan menerima sumbangan daripada sesiapa hingga menyebabkan berlaku pertembungan konflik kepentingan.


sumber:berita hairan

Friday, June 12, 2009

Apabila SPRM Minta Derma Dari UMNO…



Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Muhammad Hassan memberi sogokan RM20,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Negeri Sembilan untuk membiayai aktiviti kelab sukan badan itu, seorang pemimpin kanan PKR mendedahkan hari ini.





Kesanggupan Pengarah SPRM Negeri Rozaini Idris memohon dan menerima wang itu daripada pejabat Menteri Besar menjejaskan lagi kredibiliti SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau berkata “urusniaga” antara SPRM dan pejabat Menteri Besar itu hanya menguatkan pesepsi selama ini bahawa SPRM bersikap pilih kasih dengan menutup hampir semua aduan rasuah terhadap Datuk Seri Muhammad.

Antara tuduhan-tuduhan yang dihadapi Muhammad Hassan adalah pembabitan ahli keluarga dalam pentadbiran kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan politik wang.

“Laporan bukan sahaja dibuat oleh individu atau pembangkang, tetapi laporan yang dibuat dari kumpulan pemerintah juga tidak dilayan,” katanya.

Badrul berkata Pengarah SPRM Negeri Sembilan telah menghantar sepucuk surat memohon sumbangan menampung perbelanjaan bagi menghantar kakitangannya untuk menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 11 hingga 16 Jun 2009,” kata Badrul.

Muhammad Hassan bingkas bersetuju dan telah memberikan cek bernilai RM20,000 kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan, kata Badrul.

“Ini jelas melanggari etika,” kata Badrul, yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Sembilan.

“Memohon, menyumbang dan menerima sumbangan ini telah menjadi kesalahan dari segi etika. Menteri Besar dan SPRM mempunyai pertembungan kepentingan,” tambah Badrul



SAMM: Siasat Musa Hassan



Gerakan mahasiswa, Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini membidas keengganan kerajaan menyiasat kenyataan bersumpah tiga pegawai polis yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bersekongkol dengan Ah Long atau ceti haram tanah air.

Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.







“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.

Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.

Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.

Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.

Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.

Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.

Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.

Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.

“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.

Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.

Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul.



Powered By Blogger

 
|  Pemuda Pas Cawangan Ketengah jaya. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger