Coretan Perjuangan

Khabar Dari Pimpinan

Wednesday, September 2, 2009

Rakyat didahulukan - 30 tahun berteman cahaya pelita

BATU TIONG - Negara sudah 52 tahun merdeka, namun seorang warga emas, dekat sini masih belum menikmati pembangunan apabila terpaksa melalui kehidupan tanpa sebarang kemudahan air dan elektrik.

Fatimah Hassan, 52, yang hanya menoreh getah untuk menyara kehidupan setelah suaminya, Isa Hassan, 60, jatuh sakit, terpaksa membesarkan 10 anaknya di sebuah rumah yang didiami sejak lebih 30 tahun lalu tanpa kemudahan asas itu.




Dia yang tidak mampu lagi untuk meluahkan kekecewaannya kerana permohonan mendapatkan keperluan asas itu dikatakan masih gagal diatasi pihak berwajib, bagaimanapun berharap sebelum menghembus nafas terakhir, dapat melihat rumahnya diterangi cahaya elektrik seperti mana rakyat Malaysia yang lain.

“Dari anak masih kecil sehingga mendapat 13 cucu, di sinilah makcik menjalani kehidupan, sudah puas mak cik bersusah payah, menggali perigi untuk dijadikan air minuman dan kegunaan harian.

“Pada malam hari pula hanya bertemankan sinaran cahaya pelita minyak tanah, puluhan tahun mak cik dan anak-anak melaluinya, tiada simpati daripada sesiapapun,” katanya yang kini terpaksa menjaga suaminya Hassan, menghidap strok.

Menurutnya, walaupun negara sudah lebih separuh abad merdeka dan Dungun yang dahulunya hanya sebuah pekan kini berubah menjadi sebuah bandar, dia masih belum lagi menikmati bekalan elektrik dan air daripada kerajaan.

Menurut warga emas itu, pengertian kemerdekaan baginya adalah bukan sekadar membebaskan diri daripada cengkaman penjajah, sebaliknya dapat membebaskan diri daripada belenggu kepayahan.

“Kemerdekaan mungkin lebih bermakna bagi makcik sekiranya dapat hidup seperti rakyat Malaysia lain yang merdeka, dapat merasai nikmat pembangunan hasil perjuangan tokoh terdahulu.

“Namun apa yang makcik lalui masih tidak berubah walaupun orang lain sudah lama menikmati kemudahan ini,” luah Fatimah yang kecewa kerana kegagalan pihak berkenaan menangani masalah yang dihadapinya sejak 30 tahun lalu lagi.

Kisah Fatimah pernah disiarkan beberapa kali di akhbar ini dan akhbar tempatan lain, namun setakat ini masalah terbabit dikatakan masih gagal diselesaikan.

Pihak yang berkenaan ketika dihubungi sebelum ini pula memberikan pelbagai alasan dan masih-masing dikatakan menyerahkan tanggung jawab itu kepada pihak lain.

No comments:

 
|  Pemuda Pas Cawangan Ketengah jaya. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger