Coretan Perjuangan

Khabar Dari Pimpinan

Wednesday, June 17, 2009

Hari pengundian pada hari bekerja?


KOTA BHARU, 16 Jun (Hrkh) - Malaysia For Free And Fair Election (MAFREL) akan membuat pemantauan sepanjang tempoh proses pilihan raya kecil Dun Manek Urai.



Ketua Misi Mafrel, Dr Abdul Halim Yusof berkata, pihaknya sedang dalam proses memohon akreditasi sebagaimana dilakukan pada pilihan raya lepas.

"MAFREL sudah mula bergerak. Pemantauan merangkumi fasa prapenamaan calon, fasa kempen, hari pengundian dan fasa pasca pengundian.

"MAFREL juga akan memobilisasikan sukarelawan terlatih seramai lebih 300 orang," katanya kepada media di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata MAFREL sebagai badan prihatin tentang hak-hak asasi berkaitan pilihan raya akan mengadakan sesi latihan bagi menjadikan pilihan raya benar-benar bebas dan adil.

Dr Abdul Halim berkata, bagi mencapai matlamat tersebut MAFREL berharap semua pihak menghormati undang-undang serta peraturan pilihan raya dengan jujur.

"Perkara yang kerap terjadi sebelum ini ialah penggunaan jentera kerajaan dengan sewenang-wenangnya kerana melibatkan dana awam yang lebih kepada gimik pilihan raya.

"Paparan gambar individu bukan calon pada banner dan banting termasuk edaran berita berunsur fitnah, pembohongan yang boleh mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau juga berharap pihak keselamatan lebih berhemah ketika menjalankan tugas.

"Akhir-akhir ini kerahan terhadap anggota polis amat ramai di kawasan pilihan raya sehingga membazirkan wang serta menyusahkan rakyat dan penduduk tempatan," ujarnya.

Beliau juga berharap semua pihak memastikan penyokong bertindak rasional bagi memastikan proses pilihan raya mencapai tahap demokrasi sebenar.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menetapkan hari mengundi pada hari bekerja yang boleh menghalang pengundi keluar mengundi.

"Pengundi luar kawasan tentunya mengalami kesukaran untuk pulang mengundi," ujarnya.

Misi pemerhatian Mafrel itu turut dibantu Haji Nik Zulkifli Nik Salleh selaku Penyelaras Misi Mafrel Manek Urai. - mj _



No comments:

 
|  Pemuda Pas Cawangan Ketengah jaya. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger